Friday, 13 December 2013

Metodologi penyelidikan ilmu pembangunan Tahun 2 sem1

1.0       Pengenalan
Port Dickson dikatakan telah dinamakan sempena nama seorang pegawai British, Sir John Frederik Dickson pada tahun 1889. Ada juga yang mengatakan bahawa tempat itu dinamakan sempena seorang pegawai lain British yang menyelia pelabuhan British yang mengendalikan bijih di Lukut, sebuah daerah Port Dickson pada ketika itu. Port Dickson lebih terkenal dengan pantainya yang menarik, kemudahan yang mencukupi dan infrastruktur yang baik. Terdapat juga pelbagai jenis penginapan bagi mereka yang ingin bercuti di sini. Keperluan pembangunan pelancongan menggalakkan penerokaan hutan dan menyebabkan kemusnahan flora dan fauna. Berdasarkan pemerhatian penyelidik sebelum ini, didapati Pantai Teluk Kemang, Port Dickson mengalami pencemaran alam sekitar yang kritikal akibat daripada tindakan pembangunan pelancongan yang dilakukan.
 Pencemaran pantai ini akan menjejaskan kemasukan pelancong ke pantai tersebut kerana Port Dickson terkenal dengan pusat peranginan seperti Pantai Teluk Kemang, Pantai Tanjung Biru, Pantai Ria dan Pantai Avilillion. Aktiviti Pelancongan memberi pendapatan yang tinggi kepada negara Malaysia serta meningkatkan KDNK. Menurut Timbalan Menteri, Dato Dr James Dawos Mamit berkata, berdasarkan analisa ramalan yang dilakukan, ia menunjukkan bahawa penganjuran kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM) dapat memberi peningkatan kepada unjuran ketibaan pelancong sebanyak 7.4 peratus atau 26.9 juta pelancong bagi tahun 2013 dan 7.5 peratus atau 28.9 juta pelancong bagi tahun 2014. Unjuran tersebut akan menghasilkan peningkatan pendapatan pelancongan iaitu sebanyak RM70.1 bilion pada tahun 2013 kepada RM81.9 bilion pada tahun 2014. Oleh yang demikian, pelancongan yang lestari di Pantai Port Dickson khususnya Pantai Teluk Kemang hendaklah diamalkan agar pembangunan pelancongan yang dilakukan tidak menjejaskan kualiti alam sekitar yang akan memberi impak kepada generasi akan datang khususnya.




2.0          Penyataan permasalah kajian
Pembangunan dan perubahan merupakan dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Sejak awal abad ke-20, para pengkaji ekonomi dan sains sosial telah mula memerhatikan kesan perubahan akibat daripada pembangunan. Menurut Mill dan Morisson (1992:2005) pula, “ perubahan yang dibawa oleh pembangunan pelancongan ini seringkali lambat disedari ataupun dihargai oleh penduduk tempatan.” Sebaliknya kekurangan dalam pembangunan pelancongan sudah dirasai oleh penduduk tempatan, kesannya sudah terlambat untuk dipulihkan (murphy; 1985). Yahaya Ibrahim (2008: 18) Mereka menyedari bahawa pembangunan semestinya akan membawa perubahan sama ada ke arah kebaikan ataupun sebaliknya. Tidak dapat dinafikan bahawa pembangunan yang diharapkan membawa perubahan positif kadang-kadang memberikan kesan sebaliknya akibat daripada perancangan yang tidak tepat ataupun kurangnya persediaan komuniti tempatan dalam proses mengadaptasi perubahan daripada pembangunan yang dijalankan. Yahya Ibrahim (2008).
Perkembangan pelancongan yang pesat telah menimbulkan kesan yang nyata terhadap kedudukan ekonomi, alam sekitar dan sosial. Namum demikian, sehingga baru-baru ini, perhatian hanya tertumpu kepada impak ekonomi yang lebih nyata, sementara akibatnya terhadap alam sekitar dan masyarakat tidak begitu dihiraukan. Pengabaian persoalan-persoalan ini berlaku walaupun perasaan bimbang semakin meningkat tentang alam sekitar, yang berpunca daripada penggunaan sumber alam secara terus menerus oleh manusia, dan walaupun terdapat kesedaran yang semakin meluas tentang pentingnya pelancongan. Abdul Kadir (1991:4).
Pelancongan merupakan aktiviti penting dalam sektor perkhidmatan di negara yang sedang membangun seperti Malaysia. Er Ah Choy (2013). Menurut Abd. Jalil (1988) bidang pelancongan sebagai suatu bidang industri, mempunyai peranan yang sama pentingnya dengan bidang industri-industri lain dan sangat erat hubungannya dengan perdagangan luar negeri bagi sesebuah negara.  Jikalau difahami betul-betul apa yang dikaji oleh Abdul Kadir (1991:99), iaitu beliau memperjelaskan lagi bahawa penciptaan persekitaran untuk pelancongan, seperti pembinaan tempat peranginan, juga patut diperhatikan. Sesuatu persekitaran itu, sama ada persekitaran semulajadi, ataupun diolahkan oleh manusia, merupakan salah satu daripada sumber paling asas bagi pelancongan. Namum demikian, pertumbuhan pelancongan mahu atau tidak mahu akan menyebabkan sesuatu persekitaran itu diubahsuai.
Oleh sebab itu, banyak pusat-pusat pelancongan rekreasi di Malaysia ini berpotensi untuk dimajukan selaras dengan perkembangan ekonomi dunia, tetapi menjadi masalah apabila ada sesetengah pengusaha tidak menitik beratkan aspek kebersihan di pusat pelancongan mereka. Buktinya wujud apabila timbul masalah yang dibangkitkan dalam keratan akhbar Berita Harian (2011) yang mana air parit bersebelahan dengan Marina Bay Apartment yang kelihatan hitam, kotor dan menjijikkan, menyebabkan penghuni dan penyewa yang tinggal di apartment pada hujung minggu tidak senang duduk dengan keadaan kurang menyenangkan.
Jika diteliti secara mendalam, pencemaran yang berlaku di sesetengah kawasan  pelancongan akan mewujudkan masalah-masalah ketidakselesaan pelancong yang datang untuk melancong. Walhal kawasan pelancongan tersebut merupakan lokasi pelancongan yang terkenal. Jika keadaan persekitaran yang penuh dengan masalah pencemaran, pelancong juga akan berpindah ke tempat lain. Oleh itu, penjagaan alam sekitar dan konsep pembangunan pelancongan lestari ini merupakan salah satu langkah yang perlu dilaksanakan bagi memenuhi tuntutan semua pihak.
3.0          Persoalan kajian
Dalam kajian yang dijalankan, terdapat beberapa persoalan yang dapat dikenalpasti iaitu:
  1. Adakah aktiviti pelancongan menyebabkan berlakunya masalah pencemaran di Pantai Teluk Kemang?
  2. Adakah para pelancong mengetahui konsep pelancongan lestari semasa melakukan aktiviti pelancongan di Pantai Teluk Kemang?
  3. Apakah langkah-langkah yang dapat digunapakai bagi mengurangkan pencemaran di Pantai Teluk Kemang.


4.0          Tujuan kajian
a.                   Bagi mengenalpasti punca berlakunya pencemaran di Pantai Teluk Kemang.
b.                  Untuk mengenalpasti tahap kesedaran pelancong terhadap konsep pelancongan lestari di pantai Port Teluk Kemang.
c.                   Untuk mengenalpasti langkah-langkah yang dapat dilakukan bagi mengurangkan pencemaran di Pantai Teluk Kemang.
5.0      Kepentingan kajian
Terdapat beberapa kepentingan kajian ini yang menyebabkan ianya perlu dilakukan iaitu:
i.                        Kajian yang hendak dilakukan ini penting dalam membantu pihak berkuasa terutamanya Majlis Daerah Port Dickson dalam mengenalpasti punca-punca berlakunya masalah pencemaran di Pantai Teluk Kemang. Keadaan ini disebabkan Pantai Teluk Kemang mengalami masalah pencemaran di kawasan sekitarnya sehingga menimbulkan ketidaksenangan dalam kalangan masyarakat. Oleh yang demikian, pengenalpastian punca berlakunya pencemaran tersebut adalah perlu supaya pihak berkuasa dapat mengambil langkah yang efektif dalam membendung permasalahan tersebut.
ii.                        Selain itu, pelancongan yang lestari perlu dilaksanakan di kawasan Pantai Teluk Kemang bagi memberi kesedaran kepada pelancong tentang pentingnya penjagaan alam sekitar di kawasan pantai. Sikap ambil mudah pelancong dengan membuang sampah sarap di merata tempat menyebabkan kawasan Pantai Teluk Kemang menjadi kotor. Selain itu, pembuangan sampah sarap ke dalam longkang menyebabkan sistem peparitan tidak berjalan dengan lancar seterusnya air menjadi kotor. Air tersebut akan melimpah ke daratan seterusnya menghasilkan bau yang busuk. Faktor pencemaran yang berlaku di kawasan pelancongan khususnya Pantai Teluk Kemang mengurangkan daya tarikan pelancong terhadap pantai tersebut. Oleh yang demikian, perlunya pelaksanaan pelancongan secara lestari dalam kalangan pelancong agar alam sekitar dapat dipelihara dengan baik. Pelancong hendaklah menanam sikap etika dalam diri mereka dengan cara tidak membuang sampah di merata-rata tempat.
iii.                        Kajian yang hendak dijalankan ini juga penting bagi membuka mata pihak kerajaan khususnya kerajaan Negeri Sembilan akan kewujudan masalah pencemaran di Pantai Teluk Kemang. Pengenalpastian punca pencemaran dapat diajukan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan masalah tersebut berpanjangan. Kerajaan juga perlu mempertingkatkan undang-undang dalam membendung masalah tersebut seperti peningkatan kadar denda. Pihak berkuasa juga perlulah mengambil berat tentang masalah pencemaran alam sekitar pantai tersebut dengan melakukan pemantauan yang lebih kerap di kawasan pantai.
6.0          Skop Kajian
Kajian ini akan dilakukan di kawasan sekitar Pantai Teluk Kemang, Port Dickson Negeri Sembilan. Pantai Teluk Kemang dipilih kerana berdasarkan pemerhatian penyelidik sebelum ini, didapati Pantai Teluk Kemang telah mengalami pencemaran. Oleh yang demikiaan, pengkaji ingin mengenalpasti punca berlakunya pencemaran tersebut. Tambahan pula, Pantai Teluk Kemang sangat terkenal dengan destinasi pelancongan di Port Dickson.
Selain itu juga, penyelidik memilih 80 orang pelancong sebagai respondan kepada kajian yang hendak dijalankan. Pemilihan respondan dalam kalangan pelancong adalah kerana mereka lebih lebih mengetahui keadaan persekitaran di Pantai Teluk Kemang berbanding orang luar.
Dalam kajian ini, aspek yang hendak dikaji adalah dari segi sikap pelancong dalam aktiviti pelancongan yang mereka jalankan. Hal ini kerana didapati Pantai Teluk Kemang tercemar dengan pembuangan sampah sarap. Penyelidik dapat melihat tahap kesedaran pelancong sama ada mereka mengamalkan pelancongan secara lestari ataupun tidak.


7.0          Pendekatan teoritis atau model kendalian

 















Sumber:  Diubahsuai daripada Aliran bahan Allen V. Kneese 1974
 
 




MODEL IMBANGAN BAHAN
Model imbangan bahan diperkenalkan oleh A.V. Kneese 1973, seorang penyelidik alam sekitar dari Amerika, semasa beliau bertugas di sebuah badan penyelidikan tentang masalah alam sekitar yang dikenali sebagai Resources of The Future. Model ini menerangkan kesan buruk terhadap alam sekitar akibat pergantungan yang kuat antara sesebuah ekonomi dengan alam sekitarnya. Pergantungan yang kuat ini menyebabkan berlakunya berbagai-bagai masalah alam sekitar pada masa ini. Model ini boleh diterangkan dengan menggunakan rajah 3.1 yang menunjukkan pertalian antara pencemaran dengan kegiatan pelancongan. Mohaini Tajuddin (1989:50).
Proses pengeluaran ini bermula dengan proses pengeluaran yang diambil daripada alam sekitar. Dalam model ini menunjukan proses pengeluaran dalam sektor pelancongan. Di pantai Teluk Kemang, kawasan pantai dimajukan oleh pelbagai agensi untuk menarik pelancong. Alam sekitar ditarah, dimusnah dan diratakan untuk membangunkan sektor pelancongan seperti pembinaan hotel, chalet, homestay, jalanraya kawasan rekreasi dan sebagainya. Pembangunan pelancongan yang tidak cekap menyebabkan kemerosotan alam sekitar.
Pembinaan hotel, chalet, homestay dan resort di kawasan berhampiran menyebabkan pencemaran hasil daripada sisa kumbahan. Pembuangan sampah sarap dan sisa kumbahan yang tidak sistematik dilakukan oleh pengurusan komponen-komponen berikut menyebabkan air parit tersumbat dan melimpah. Air parit yang tercemar mengadungi bakteria-bakteria yang merbahaya serta mengeluarkan bau busuk. Keadaan ini menimbukan ketidaksenangan dalam kalangan penduduk sekitar dan juga pelancong yang datang di Pantai Teluk Kemang. Berita Harian (2011)
                        Pembinaan tempat peranginan sama ada dalam bentuk hotel, apartmen ataupun chalet yang tidak disambungkan kepada sistem pembentungan terpusat biasanya akan menimbulkan masalah pencemaran perairan pinggir pantai bukan hanya dari segi najis dalam bentuk cecair, tetapi juga dalam bentuk pepejal. Jamaludin Md Jahi (2009).
Disamping itu, peningkatan infrastruktur menyebabkan peningkatan bilangan pelancong. Jamaludin Md. Jahi (2009). Keadaan ini menyebabkan pantai Teluk Kemang sentiasa  menjadi tumpuan pelancong untuk beriadah. Pencemaran berlaku kerana penyalahan sumber dan alam sekitar oleh manusia. Penggunaan yang tidak terkawal seta kelalaian manusia itu sendiri menyebabkan perkara yang tidak diingini berlaku. Mohaini Tajuddin (1989: 88). Sikap pelancong yang suka membuang sampah di merata-rata tempat turut mengakibatkan pencemaran Pantai Teluk Kemang. Pelancong seharusnya lebih bermotivasi dan mempunyai nilai cintai alam sekitar dalam diri mereka agar keindahan pantai dapat dipelihara.
Secara kasar, pencemaran wujud disebabkan oleh penggunaan dan pengeluaran barang dan perkhidmatan yang memberi kesan buruk terhadap kehidupan sekumpulan besar penduduk dan pencemaran juga menyebabkan keupayaan pengeluaran barang-barang lain berkurangan.  Mohaini Tajuddin (1989:87). Pencemaran berlaku apabila terdapat banyak bahan pencemar serta sisa pengeluaran yang dibuang ke dalam alam sekitar. Oleh yang demikian, pembangunan pelancongan secara lestari harus dilakukan agar masalah pencemaran alam sekitar dapat dikurangkan. Pihak pemaju hendaklah menjalankan pembangunan dengan lebih sistematik. Sistem peparitan hendaklah diselenggara dan dijaga dengan lebih kerap agar tidak berlaku limpahan air. Di samping itu, pelancong hendaklah mempunyai kesedaran menjaga alam sekitar supaya keindahan alam sekitar dapat digunakan secara bersama bukan sahaja kepada generasi kini malah generasi hadapan.
8.0         Penyataan hipotesis atau andaian kajian
i.        Aktiviti pelancongan menjadi punca berlakunya masalah pencemaran di Pantai Teluk Kemang.
Keadaan ini dapat dikaitkan dengan perancangan pembangunan yang tidak sistematik dalam membangunkan pelancongan di kawasan tersebut. Pembuangan bahan kumbahan oleh hotel, chalet, homestay dan villa di Pantai Teluk Kemang menyebabkan air parit menjadi kotor dan busuk. Hipotesis yang dapat dikemukakan iaitu, pencemaran di Pantai Teluk Kemang ini berlaku apabila ada sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab mencemarkan alam sekitar dengan cara membuang sampah di merata tempat, sisa kumbahan di salurkan ke dalam sungai dan pembinaan hotel di kawasan pinggiran pantai. Oleh sebab itu, Pembangunan pelancongan yang tidak lestari menyebabkan berlakunya pencemaran di Pantai Teluk Kemang. Perbuatan ini akan menyebabkan alam sekitar di kawasan Pantai Teluk Kemang itu tercemar dan proses untuk membersihkannya juga memakan perbelanjaan yang besar.
ii.      Terdapat hubungan yang signifikan antara kesedaran pelancong dan impak alam sekitar
Hipotesis ini dapat dikemukakan apabila ada sesetengah para pelancong yang tidak faham akan konsep pelancongan lestari. Mereka sekadar melancong dan menghayati kawasan pelancongan yang dituju tanpa menghiraukan faktor kebersihan sekeliling pantai. Keadaan ini dapat disimpulkan apabila terdapat sampah sarat seperti plastik, botol minuman, polisterena yang terlalu banyak dibuang di Pantai Teluk Kemang. Oleh itu, Tahap kesedaran pelancong yang rendah menyebabkan sampah sarap dibuang di merata-rata tempat. Jika pelancong faham akan konsep pelancongan lestari, maka mereka juga akan menjaga kelestarian alam sekitar semasa melancong.
9.0          Definisi konsep
9.1          Industri Pelancongan
                Bagi Krippendorf (1972), industri pelancongan bermaksud semua bentuk perniagaan yang menyediakan barang dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan pelancong serta menjalin hubungan dengan para pelancong dlam urusan mereka sehari-hari. Yahaya Ibrahim (2008; 6)
Bhatia (1983) mentakrifkan industri pelancongan sebagai semua aktiviti ekonomi yang berkaitan dengan kemasukan, penginapan dan pergerakan rakyat asing dari dalam dan luar sesebuah kawasan, bandar atau tempat. Yahaya Ibrahim (2008; 6)
Smith (1988) pula mentakrifkan industri pelancongan adalah penjumlahan semua perniagaan yang secara langsung menyediakan barangan dan perkhidmatan yang berkaitan aktiviti masa rehat. Yahaya Ibrahim (2008; 6)
United World Nations Conference on Trade and Development (UNCTAD) (1971) telah merumuskan definisi pelancongan sebagai sektor yang mewakili keseluruhan aktiviti komersil dan industri yang mengeluarkan barang dan perkhidmatan sama ada secara langsung atau tidak langsung untuk memenuhi keperluan pelancong. Yahaya Ibrahim (2008; 7)
9.2          Pembangunan lestari
Pembangunan lestari menekankan kepada kepentingan peningkatan kualiti yang lebih kepada semua entiti muka bumi termasuklah manusia, muka bumi dan kehidupan lain. Justeru itu konsep pembangunan lestari perlu dilihat dalam perspektif yang komprehensif dan bersepadu serta mengimbangkan keperluan dalam semua aspek pertumbuhan ekonomi, sosial dan alam sekitar. Fatimah Hassan & Fauziah (2013)
Menurut Berke, P.R. (2000: 2), pembangunan mapan ialah konsep yang mudah iaitu generasi kini dan akan datang perlu berjuang bagi mencapai kualiti hidup yang tinggi bagi semua orang dan hidup dalam batasan sistem semula jadi. Khairul Hisyam & Ibrahim Ngah (2007; 22)
Bagi Blowers, A. (1992: 6) pula berpendapat bahawa pembangunan lestari adalah peningkatan persekitaran semula jadi dan alam binaan dengan cara yang secocok dengan keperluan bagi mencapai peningkatan dan persamaan sosial tanpa mengenakan kos dan risiko tambahan kepada generasi akan datang. Khairul Hisyam & Ibrahim Ngah (2007; 22)
 WCED (1987: 8) mentakrifkan pembangunan mapan sebagai pembangunan yang memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan keupayaan generasi akan datang dalam memenuhi keperluan mereka. Khairul Hisyam & Ibrahim Ngah (2007; 22)
Berdasarkan definisi-definisi tersebut, dapat dirumuskan bahawa pembangunan pelancongan lestari membawa maksud sumber-sumber pelancongan semulajadi, kebudayaan dan lain-lain yang dipulihara untuk penggunaan yang berterusan pada masa yang akan datang dan pada masa yang sama masih membawa manfaat kepada masyarakat masa kini. Er Ah Choy (2013).





10.0        Sorotan literatur
Terdapat banyak kajian lepas yang membicarakan tentang aspek pelancongan dan masa depannya. Kajian-kajian ini dibuat terutamanya di negara-negara maju seperti di United Kingdom, Eropah dan Amerika Syarikat. Terdapat juga kajian-kajian yang telah dilakukan ke atas negara-negara Dunia Ketiga serta tidak ketinggalan Malaysia. Sektor pelancongan adalah sektor yang paling penting pada masa kini. Ia telah menyumbangkan hasil yang besar kepada ekonomi negara dan ekonomi dunia amnya. Norma (1994).
Seperti yang dikaji oleh Er Ah Choy, (2013:14), beliau mengambil kira aktiviti pelancongan yang dilaksanakan di Malaysia masa kini yang mesti dikaitkan dengan pembangunan lestari, pelbagai usaha telah dijalankan untuk melestarikan produk pelancongan negara. Kini, prinsip pembangunan lestari bukan sahaja terhad kepada pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dan sumber-sumbernya, tetapi juga merangkumi pengurusan sumber manusia, budaya, kewangan di samping pembangunan fizikal. Kebelakangan ini, diperhatikan bahawa satu dimensi baru tentang pembangunan lestari telah lama wujud, iaitu dimensi yang berteraskan generasi. Ini berlaku akibat peningkatan penghargaan umum terhadap manfaat yang diperolehi melalui usaha pembangunan lestari (Chamhuri Siwar, 2004) .  Ini  menjadikan konsep pelancongan lestari semakin popular dan menjadi amalan oleh kebanyakan pemaju pusat-pusat pelancongan di negara Malaysia ini termasuklah di negeri Melaka.
Pengertian pembangunan lestari atau mampan yang telah diterimapakai memuatkan tema sejagat yang merangkumi aspek persekitaran (environment), masa hadapan (futuristic) dan kesaksamaan (equaity). Penekanan pembangunan lestari adalah kepada penggunaaan sumber yang ada dengan bijak khususnya dalam konteks perancangan, komitmen dan penglibatan pihak pengurusan serta pihak lain yang berkaitan atau berkepentingan. Konsep kelestarian ini mengingatkan bahawa pelbagai elemen untuk pembangunan sama ada bandar, ekonomi, budaya dan sebagainya yang menjamin kesejahteraan semasa harus berterusan tanpa mengabaikan kesejahteraan generasi masa depan walaupun tuntutan dan karenah pembangunan menjadi semakin dinamik dan luwes. Justeru itu, pembangunan pelancongan lestari yang merupakan sub-tema dalam pembangunan lestari sehingga kini masih lagi menarik perbincangan yang berterusan. Dengan berfokuskan kepada kawasan Felda Gugusan Trolak yang memiliki beberapa produk pelancongan sedia ada seperti Taman Reakrasi Air Panas Sungai Klah dan yang bakal diperkenalkan seperti Dusun Trolak, kertas kerja ini mengupas elemen-elemen pelancongan lestari yang bakal direalisasikan dalam kawasan kajian. Antara elemen ini termasuklah keupayaan membantu meningkatkan integriti tempat berdasarkan kelebihan tempat, menjana ekonomi setempat dan memulihara alam sekitar dan kesejahteraan komuniti setempat Fatimah & Fauziah (2013)
Dalam kajian yang telah diperolehi daripada Yahya Ibrahim (2008:214), proses pembangunan terutamanya di pinggir pantai sebuah pulau sememangnya tidak dapat mengelak daripada berlakunya pencemaran alam sekitar. Menurut Bootle 1967 (dalam Mathieson dan Wall, 1991) telah menyenaraikan kegiatan pinggir pantai yang memberi kesan terhadap ekologi, antaranya pembinaan padang golf, tempat tinggal yang tetap, tempat cavaran dan khemah serta mandi manda. Walau bagaimanapun, kesan yang utama ialah pembuangan sampah sarap, kumbahan, kebakaran dan hakisan yang telah mengubah paras air dan kepekatan nutrien menyebabkan gangguan terhadap flora dan fauna. 
Dalam kajian yang dikemukakan oleh Kalsum Khayat dan Nor Ashikin(2006) membuktikan bahawa Mowforth dan Muht(1998) menyimpulkan bahawa usaha pembangunan pelancongan yang menggunakan pendekatan pembangunan lestari perlu memenuhi kehendak (i) memulihara sumber alam sekitar, sosial, budaya dan ekonomi; (ii) mengandungi elemen pendidikan kepada tuan rumah, pelawat dan pengusaha; dan (iii) menekankan aspek penyertaan masyarakat setempat. Manakala ini menjurus kepada kehendak yang ketiga, iaitu penyertaan ahli komuniti dalam pembangunan pelancongan yang dikategorikan sebagai pembangunan pelancongan lestari.
Berdasarkan kepada kajian-kajian lepas, dapatlah dirumuskan bahawa kawasan semulajadi merupakan tarikan utama pelancongan. Lebih-lebih lagi di kawasan di pinggir pantai. Noor Dina (2008). Dapat dirumuskan bahawa, pembangunan pelancongan lestari telah banyak dikaji oleh pengkaji-pengkaji dalam bidang pelancongan, tetapi masih kurang dalam kajian kesan pelancongan terhadap pencemaran pantai. Kebanyakan kajian-kajian yang dilakukan mengambil kira kesan-kesan pelancongan akibat daripada pembangunan pelancongan yang dilakukan tetapi tidak mengambil kira tahap kesedaran pelancong dalam aktiviti pelancongan. Oleh sebab itu, langkah untuk memulihara dan memelihara keadaan pantai daripada tercemar perlu menjadi sebahagian daripada kajian penyelidikan  
11.0        Metodologi kajian
Metod untuk melakukan kajian ini merangkumi kaedah-kaedah yang digunakan untuk melaksanakan kajian ini. Metodologi kajian ini melibatkan tiga aspek utama iaitu pengumpulan data, persampelan dan menganalisis data. Sampel yang dipilih dalam kajian ini adalah melibatkan pelancong yang datang ke Pantai Teluk Kemang.
11.1 Pengumpulan Data
Dalam kajian ini, dua kaedah pengumpulan data digunakan iaitu melalui data primer dan juga data sekunder. Bagi memperoleh data primer, kaedah yang digunakan adalah melalui kerja lapangan dengan mengedarkan borang soal selidik, temubual secara formal dan tidak formal  melalui pemerhatian di sekitar kawasan kajian
Soal selidik merupakan satu alat untuk mengumpul data dan maklumat yang kerap kali digunakan dalam bidang penyelidikan. Soal selidik mempunyai dua fungsi utama iaitu untuk mendapatkan maklumat yang mengambarkan ciri-ciri individu atau kelompok yang dikaji dari segi jantina, status, umur, pendidikan, pekerjaan dan pendapatan. Selain itu, dapat mengukur ciri-ciri psikologi seperti sikap dan persepsi individu dan kumpulan yang dikaji. Soal selidik yang digunakan merangkumi dua bentuk soalan iaitu soalan terbuka dan soalan tertutup. Soalan terbuka bertujuan memberi peluang kepada responden untuk memberikan pandangan dan cadangan, manakala soalan tertutup bertujuan untuk mendapatkan jawapan yang tepat daripada responden. Soal selidik ini mengandungi 3 bahagian iaitu A, B, C, D dan E. Bahagian A adalah berkaitan dengan latar belakang  responden, bahagian B berkaitan dengan punca pencemaran di kawasan kajian, bahagian C iaitu berkaitan dengan pemahaman tetang konsep pembangunan lestari, bahagian D iaitu langkah-langkah dan bahagian E soalan yang terbuka berbentuk pandangan dan cadangan.
Tujuan teknik temubual digunakan adalah untuk menambahkan maklumat-maklumat dan fakta-fakta yang signifikan dengan bidang kajian ini. Pada keseluruhannya temubual yang akan dijalankan sepanjang kajian ini adalah secara formal dan tidak formal. Temubual secara formal akan dilakukan kepada orang yang mempunyai autoriti dalam hal ini. Contohnya pegawai penguat kuasa alam sekitar dan pemilik hotel-hotel yang berdekatan dengan kawasan kajian. Mereka dipilih berdasarkan kepada kuasa, dan hak bersuara mereka didengari oleh pelbagai pihak. Maklumat juga diperolehi melalui temubual secara tidak formal dengan responden. Bertujuan untuk melengkapkan lagi maklumat terutamanya yang berkaitan dengan sikap, pendapat serta pandangan responden terutamanya maklumat yang diperolehi secara langsung melalui soal selidik. Di samping itu, temubual ini dilakukan untuk membantu responden mengisi borang selidik terutamanya bahagian yang sukar difahami oleh mereka.
Pemerhatian dilakukan adalah untuk menilai sendiri bagaimana faktor pelancongan yang dikatakan telah mempengaruhi  keadaan persekitaran fizikal kawasan kajian. Hal ini secara tidak langsung akan membantu pengkaji dalam menyesuaikan diri dengan keadaan kawasan kajian dan sikap penduduk dalam usaha menyiapkan hasil kajian.
Penggunaan bahan-bahan sekunder sebagai bahan rujukan untuk mendapatkan data dan maklumat yang lebih tepat. Kajian perpustakaan melalui kaedah analisis kandungan dilakukan bagi memantapkan lagi pemahaman mengenai isu yang hendak dikaji. Melalui kaedah ini, pengkaji dapat menambahkan pengetahuan dalam idea-idea penulisan. Rujukan daripada buku-buku, jurnal, kertas kerja seminar, ketaran akhbar, internet dan tesis banyak membantu untuk menerangkan dan menjelaskan berkaitan dengan pelancongan lestari.  
11.11 Persampelan
Teknik persampelan yang dipilih dengan menggunakan kaedah persampelan rawak mudah atau bebas. Teknik persampelan rawak mudah ialah proses mencabut satu sampel dengan unit-unit asas yang dipilih secara individu dan langsung melalui satu proses yang rawak. Melalui proses yang rawak  ini setiap individu mempunyai kebarangkalian yang sama untuk dipilih. Responden dipilih seramai 80 orang pelancong yang datang ke Teluk Kemang, setiap responden diedarkan dengan soal selidik bagi mendapatkan maklumat yang diperlukan.
11.12 Analisis Data
Setelah kesemua soal selidik dikumpulkan, data yang diperoleh akan dianalisis iaitu dengan menggunakan perisian SPSS. Terdapat tiga jenis data yang perlu dianalisis dan direkodkan iaitu data ordinal, data nominal dan data skala. Pada peringkat pertama data-data yang diperolehi dianalisis dengan menggunakan frekuensi analisis deskriptif. Terdapat beberapa peringkat dilakukan sebelum data diproses. Pada peringkat awal satu analisis koding dilakukan ke atas borang soal selidik yang telah dijawab oleh responden. Kemudian koding-koding tersebut dimasukkan ke dalam perisian SPSS serta diproses bagi mendapatkan hasil. Kaedah pemprosesan data pada peringkat ini adalah dengan menggunakan kaedah statistik deskripsi frekuensi iaitu untuk mendapatkan hasil dalam bentuk peratusan supaya hasil lebih kukuh.
Seterusnya sesetengah data pula akan dianalisis dengan menggunakan kaedah jadual silang atau ‘crosstabulation’ bagi memeperlihatkan perkaitan di antara dua perkara lain. Kaedah ini akan lebih ditumpukan dalam menganalisis data-data penting.
Kesimpulan
Pelancongan bukan sahaja mempunyai kuasa meningkat atau membangunkan ekonomi, malahan pelancongan juga merupakan faktor yang sering diberikan perhatian dalam pembangunan fizikal alam sekitar. Alam sekitar merupakan teras bagi produk pelancongan oleh kerana keuntungan dalam pelancongan adalah bergantung kepada usaha dan aspek pengekalan daya tarikan sesuatu destinasi yang pelancong atau pelawat ingin saksikan dan alaminya sendiri.
Oleh yang demikian, pentingnya pelaksanaan pelancongan lestari dalam memajkan sektor pelancongan. Pendekatan pembangunan lestari bagi setiap perancangan pelancongan adalah amat diperlukan kerana sekiranya pantai-pantai ini dimusnah atau dimansuhkan, maka kawasan pelancongan itu tidak boleh lagi menarik pelancong dan akhirnya pelancongan di kawasan berkenaan akan gagal. Ianya juga penting terutamanya bagi penduduk setempat supaya tidak 'menderita' akibat daripada kemusnahan persekitaran dan masalah-masalah lain yang ditimbulkan akibat aktiviti pelancongan yang tidak terkawal.
Jika pembangunan pelancongan dilaksanakan berdasarkan konsep dan pendekatan yang lestari, pelancongan boleh membantu memberikan 'pewajaran' dan dapat mencadangkan langkah-langkah atau alternatif yang boleh diambil untuk pemuliharaan sumberjaya semulajadi termasuk warisan budaya di kawasan yang dibangunkan. Justeru, penjagaan penjagaan alam sekitar pantai amat penting bagi menjamin keberlangsungan aktiviti pelancongan dan kesejahteraan penduduk setempat.
Rujukan
  Oka A. Yoeti 1998. Pemasaran Pelancongan. Terj. Abd. Jalil Haji Anuar. Kuala Lumpur:   Dewan Bahasa dan Pustaka.
Fatimah Hassan. 2009.  Pemasaran Tempat Pendekatan Pembangunan Wilayah. Universiti Sains Malaysia: MPH Distributors Sdn.Bhd.
Stabler, M.J. 2001. Tourism & Substainability Principles to Practice. UK :Department of Economics University of
Alister Mathieson & Geoffery Wall. 1991. Pelancongan Impak Ekonomi, Fizikal dan Sosial. Terj. Abdul Kadir Hj. Din.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Khairul Hisyam Kamarudin & Ibarahim Ngah. 2007. Pembangunan Mapan Orang Asli . Sudai: Universiti Teknologi Malaysia
Yahya Ibrahim. 2008. Pembangunan Pelancongan Dan Perubahan Komuniti.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Pelancong Malaysian. Journal of Society and Space Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Fatimah Hassan  & Fauziah Che Leh. 2007. Pembangunan Pelancongan Lestari di Felda Gugusan Trolak: Satu Analisis. Dalam Prosiding Seminar Kebangsaan Geografi, Dunia Tanpa Sempadan. Universiti Perguruan Sultan Idris. Tanjung Malim, Perak, 8-9 September 2007.  
Utusan Sarawak. Jumlah pelancong, pendapatan diramal.  Mohd Shafik Ahmad.
[09-Mar-2013]
http://www.utusansarawakonline.com/news/853/Jumlah-pelancong-pendapatan-diramal/
Sinar Harian. Air Parit Cemari Pantai. Nor Aziah Othman
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Airparitcemaripantai/Article [23 Mac 2011]
Norma Ismail. 1994. Potensi Tasik Bukit Merah Sebagai Pusat Pelancongan. Latihan ilmiah,  Jabatan Geografi. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mohaini Tajuddin. 1989. Teori Ekonomi Alam Sekitar. Kuala Lumpur:   Dewan Bahasa dan Pustaka.
Jamaluddin Md. Jahi. 2009. Pembangunan Pelancongan Dan Impaknya Terhadap Persekitaran Fizikal Pingginr Pantai :Malaysian Jurnal of Environment Management.
Http://Journalarticle.Ukm.My/2289/1/MJEM_2009_5_Jamaluddin.Pdf
A. M.. Freeman, R. H. Haveman, A. V. Kneese  . 1973.  Microsoft Academic Search. http://academic.research.microsoft.com/Publication/37596158/economics-of-environmental-policy    [12 DISEMBER 2013]
Nur Shaira. 2008. Perkampungan Pantai Sabak: Cabaran Dalam Kelestarian Petempatan. Latihan ilmiah, Program Sains Pembangunan , Universiti Kebangsaan Malaysia


No comments:

Post a Comment